Waspada... elak terbeli biskut mengandungi sumber babi
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk biskut bijiran yang tular di media sosial sejak semalam mengandungi sumber babi dan haram dimakan umat Islam di negara ini.
Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Pengurusan Halal Jakim dalam kenyataannya menjelaskan, produk biskut bijirin keluaran syarikat itu sudah disiasat pihaknya susulan gambar penularan gam bar produk berkenaan di media sosial.
"Untuk makluman, produk biskut bijirin keluaran syarikat itu bukan pemegang dan tidak layak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana menggunakan bahan ramuan yang tidak halal dari sumber babi.
"Justeru, pengguna dinasihatkan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk makanan yang berada di pasaran sebelum membeli atau menggunakannya," katanya.
Kenyataan itu turut meminta pengguna Islam mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah kerana ia dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal ditetapkan di negara ini.
"Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal," katanya.