Bot tunda ditahan berlabuh tanpa kebenaran


 Georgetown: Sebuah bot tunda bersama 11 kru termasuk seorang nakhoda ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika Barat Butterworth, hari ini kerana didapati berlabuh tanpa kebenaran.

Penahanan dilakukan pada 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan pemantauan di perairan negeri menerusi Op Benteng.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Hamizan Harun berkata, pemeriksaan mendapati bot tunda 'Atosa Dili' sepanjang 31 meter itu didaftarkan di Mongolia.

Katanya, mereka dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Didapati bot itu dikendalikan 11 kru termasuk seorang nakhoda yang mana enam daripadanya adalah warga Iran berusia antara 33 hingga 60 tahun.

"Manakala empat kru lagi adalah warga Filipina berusia 24 hingga 66 tahun dan seorang warga Indonesia berusia 56 tahun," katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953.

Katanya, bot tunda bersama kru dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, di sini, bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hamizan berkata, APMM turut merampas enam bubu naga yang dilarang penggunaannya menerusi pemantauan di perairan, semalam.

Katanya, rampasan berkenaan dilakukan di kedudukan 0.6 batu nautika Barat Batu Musang, di sini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan cara menggunakan atau mengendalikan peralatan menangkap ikan bubu naga tanpa lesen sah," katanya.