Uyaina dan Raja Syahiran masih dalam status berkawan
Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon Uyaina Arshad mengakui sedang berkenalan rapat dengan penyanyi Raja Syahiran, 27, sejak Mei lalu.
Uyaina, 28, dihubungi berkata mereka berdua masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan tiada sebarang hubungan istimewa.
"Kami mula berkenalan selepas bertemu di sebuah majlis hiburan. Ketika itu saya diundang sebagai tetamu jemputan. Dia datang menyapa dan kami mula berkawan di sosial media dan akhirnya makin rapat.
"Jujur tiada apa-apa hubungan yang serius antara kami, cuma kami rapat sebagai kawan.
"Saya suka cara dia mahu berkawan dengan saya tanpa ada niat untuk mengorat atau menggunakan cara mengayat," katanya.
Menurut Uyaina, meskipun Raja Syahiran kelihatan agak pendiam, namun dia seorang lelaki yang bijak dan cara pemikirannya turut matang.
"Kami mudah mencari persefahaman. Dia faham dan matang apabila bercakap dengannya.
"Nampak saja agak pendiam tapi dia bijak dalam melontarkan pendapat. Malah, dia juga seorang yang baik dan menghormati orang lain," katanya.