443,000 tan pada 2030


 Raub: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menjangkakan pengeluaran durian negara meningkat kepada 443,000 tan menjelang 2030 berbanding 384,170 tan pada 2019.

Setiausaha Bahagian Pemasaran dan Eksport Mafi, Khalid Ibrahim berkata, unjuran itu berdasarkan saiz kawasan tanaman durian negara seluas 72,536 hektar pada 2019.

Katanya, Pahang, Johor dan Sarawak menjadi tiga negeri penyumbang utama kepada pengeluaran durian negara dengan Pahang mengeluarkan sebanyak 89,916 tan, Johor (87,838 tan) dan Sarawak (34,650 tan).

"Raub, Pahang adalah pusat pengeluaran utama durian bagi varieti Musang King. Daerah ini mempunyai kawasan penanaman durian berkeluasan 11,201.2 hektar dan pengeluaran sebanyak 70,650 tan metrik bernilai RM1.3 bilion.

"Musang King, D24, Duri IOI dan durian kampung varieti popular yang ditanam di sini," katanya pada Program Durio Tour @Raub 2020 yang berlangsung di sini.

Mengenai eksport durian, beliau berkata, lima destinasi eksport utama negara ialah Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, China serta Vietnam dan pada 2018, Malaysia mengeksport sejumlah 23,381 tan raja buah itu dengan nilai RM118.2 juta.

Mengenai program pelancongan durian atau Durio Tourism, Khalid optimis negara mampu merancakkan usaha itu selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Menurutnya, kaedah baharu digunakan bagi mempromosi Durio Tourism termasuk menggunakan pempengaruh influencer media sosial yang mempunyai ratusan ribu pengikut.

"Pada Program Durio Tour @Raub 2020, Mafi berkesempatan membawa enam pelajar antarabangsa dari China dan lima influencer serta dua wakil Kedutaan China untuk merasai pengalaman mengenali durian dan kawasan penanaman durian," katanya yang yakin usaha itu akan dapat mempromosikan Durio Tourism negara kepada pelawat China.

Sementara itu, Pengarah Kanan Galakan Pasaran FAMA Rosilawati Abu Hassan yang turut hadir berkata, program itu dapat memberikan kesan positif terhadap permintaan durian sejuk beku di China, sekali gus meningkatkan nilai eksport durian negara.

Menurutnya, bagi memastikan kesegaran buah sepanjang perjalanan ke China, durian Musang King berkualiti tinggi dibawa terus dari dusun ke kilang dan diproses pada hari sama.

Selepas menjalani proses, buah dibungkus dengan kaedah pek vakum sebelum diletakkan di bilik sejuk beku dengan suhu -18 darjah selsius.

"Di bilik sejuk beku ini, durian boleh bertahan hingga enam bulan," katanya.

Rosilawati berkata sehingga 25 Februari lalu, terdapat 14 kilang pemprosesan durian sejuk beku bagi whole fruit di seluruh negara yang mendapat kelulusan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC).

Program Durio Tour @Raub 2020 kali ini menjelajah Dataran Durian, Zamri Othman Agro Farm, Lembah Temir Resort dan PHG. Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd.