PAS: Muafakat Nasional boleh bertahan jika tiada parti mendominasi
PAS meletakkan keyakinan tinggi betapa Muafakat Nasional (MN) boleh bertahan lama sekiranya semua parti saling bergantung antara satu sama lain sekali gus tiada yang mendominasi, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagaimanapun dia turut menegaskan bahawa keadaan itu turut bergantung kepada cara pengurusan gabungan tersebut.
"Lama atau tidak sesebuah gabungan itu bergantung kepada cara kita menguruskannya.
"Apabila kita urus dengan cermat dan hormat-menghormati, saya yakin ia mampu bertahan lama.
"Terutama sekali isu dominasi - semua parti perlu bergantung satu sama lain. Jika ada yang mendominasi, ia tidak akan bertahan lama," katanya.
Justeru, kata anggota parlimen Kubang Kerian itu lagi, jika ada sebarang masalah timbul, semua parti perlu duduk di meja rundingan.
"Saya berharap MN mampu bertahan sampai bila-bila demi masa depan negara," katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan khas dan kit Covid-19 kepada sekolah dan institut pendidikan peringkat Parlimen Kubang Kerian, di Kota Bharu, hari ini.
Dia berkata demikian ketika mengulas mengenai potensi MN yang dibentuk bersama Umno - dan bakal disusuli Bersatu - dapat bertahan sebagai sebuah gabungan yang utuh.
Terdahulu, Bersatu melalui presidennya, Muhyiddin Yassin dilaporkan sudah membalas jemputan PAS dan Umno untuk menyertai gabungan tersebut.
Tuan Ibrahim berkata, PAS mengalu-alukan penyertaan Bersatu ke dalam MN.
"Saya fikir ini berita gembira penyatuan parti politik yang sangat penting bagi memperkasakan agenda negara.
"Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi merangka strategi dan persediaan menghadapi pilihan raya negeri Sabah," jelasnya yang juga menteri alam sekitar dan air.